Sunday, July 31, 2005

Suatu petang di Devi’s, Bangsar.

Sebenarnya aku tak pernah belanja orang yang tidak dikenali minum. Budaya ini biasanya diamalkan di bar-bar, di mana si lelaki akan membelikan si gadis minum. Kalau si gadis bernasib baik, minuman yang diberi tidak di-spike, dan kalau nasib lebih baik, cinta akan berputik.

Tapi aku bukan di bar. Aku berada di Devi’s, tengah menikmati roti naan garlic, dengan kuah kari terpercik di baju (inilah bahana cuba kontrol ayu sambil makan haha).

Tiba-tiba aku ternampak dia. Tengah baca buku. Dunia yang bising dengan pasar malam dia buat tak endah sahaja. Sekali-sekala dia senyum sendirian, dia usap dagu dia, mata tak pernah melilau dari buku yang dibaca. Sejuk hati aku, walaupun cuaca pada petang itu panas membara macam duduk sebelah tempat kipas satay (oh you know what I mean).

Dan disebabkan dunia ini sudah terbalik, aku belikan dia teh o ais limau. Dia senyum tanda terima kasih. Hmm, dia lagi kacak dari yang aku sangka (maklumlah bila dia tengah membaca aku nampak side profile-nya sahaja). Mungkin dia tak sekacak Jared Leto, Hephaistion kegilaan aku tu. Dia juga mungkin tak sekacak Orlando Bloom, yang berlakon macam kayu tu. Tapi dia memang kacak.

Bukan sahaja kacak, tapi gentleman. Dia singgah di meja aku, ucap terima kasih. Ketika ini aku ada dua options: Aku boleh beri phone number aku dan balik tak tidur semalaman mengharapkan panggilan telefon darinya, atau aku boleh ucap “you’re welcome” dan pulang dengan hati senang kerana dia senyum kat aku.

Aku ucap “you’re welcome”. Ye lah, takkan aku nak cakap “pilihlah aku jadi pacarmu” pulak?

Senyuman ikhlas dari seorang yang tidak dikenali tak mahal rupanya.
Hanya berharga satu ringgit.
Harga segelas teh o ais limau.

No comments: